4 Ogos 2026 | Seiring dengan hasrat memperkasakan agenda pendigitalan perkhidmatan kehakiman, warga kerja Zon Abu Bakar As-Siddiq melalui Unit Transformasi E-Syariah (U-TES), Bahagian Pendaftaran, Keurussetiaan dan Rekod (BPKR) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pendaftaran Kes Secara E-Filing kepada Peguam Syarie secara dalam talian pada hari ini, 4 Ogos 2026.
Bengkel yang padat dengan pengisian ini berlangsung seawal jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ia telah menghimpunkan seramai 150 orang Peguam Syarie yang beramal di negeri Kelantan, Negeri Sembilan, dan Sabah.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah diberikan pendedahan dan latihan praktikal secara terperinci mengenai tatacara pemfailan kes menggunakan modul e-Filing. Fokus utama turut diberikan kepada penggunaan fungsi-fungsi Sistem E-Syariah Versi 3 (ESV3), termasuk kaedah pembayaran fi secara atas talian bagi memastikan urusan pendaftaran kes kelak menjadi lebih cekap, pantas, dan mudah.
Sesi perkongsian ilmu ini telah dikendalikan dengan cemerlang oleh Tuan Haji Mohd Tajudin Saifullah bin Abdul Wahab, Ketua Unit Transformasi E-Syariah (U-TES). Beliau turut dibantu oleh Puan Hasmaniza binti Ainullah, Penolong Pengarah Kanan dari Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) JKSM, serta barisan pegawai berdedikasi dari U-TES dan BTMK. Para peserta juga mengambil peluang ini untuk bersoal jawab dan mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung sistem baharu tersebut.
Selain bengkel, program ini turut disekalikan dengan sesi Mesyuarat Penyelarasan bersama wakil-wakil Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) dari ketiga-tiga negeri yang terlibat. Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menyelaraskan fungsi Modul e-Review, Aplikasi Mudah Alih (Mobile Apps), dan Pendaftaran Kes Secara Pukal agar pelaksanaannya seragam di setiap negeri.
Tahniah diucapkan kepada urus setia U-TES, BPKR dan semua pihak yang terlibat! Penganjuran program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah sentiasa berada pada tahap terbaik dan memenuhi keperluan era digitalisasi masa kini.






No comments:
Post a Comment